18 tahun penantian, kumpulan legenda Indonesia, Peterpan kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert “The Journey Continues: Peterpan – Semua Tentang Kita”, yang disaksikan hampir 5,000 peminat dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia di Idea Live Arena, baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, malam tersebut menjadi sebuah pertemuan semula yang penuh emosi antara Peterpan dan para peminat yang telah membesar bersama lagu-lagu kumpulan itu sejak lebih dua dekad lalu.
Lagu-lagu seperti Semua Tentang Kita, Ada Apa Denganmu, Mungkin Nanti, Tak Bisakah, Bintang di Surga dan Menghapus Jejakmu menghidupkan kembali nostalgia yang begitu bermakna, sekali gus menjadikan suasana di dalam arena dipenuhi dengan kenangan, emosi dan sorakan yang tidak pernah putus.
Kejayaan konsert ini mencatat satu pencapaian yang amat membanggakan buat industri hiburan tempatan. Dianjurkan oleh promotor Malaysia, PULSE PROJECT ASIA dan BLACK SKY, dengan kerjasama promotor dari Indonesia, INTX, serta ORLAITH INC. sebagai Rakan Strategik – Perhubungan Awam (PR) dan Komunikasi, konsert ini berjaya merealisasikan impian ribuan peminat.
“Konsert ini bukan sekadar membawa Peterpan kembali ke Malaysia selepas 18 tahun. Lebih daripada itu, ia merupakan sebuah perjalanan nostalgia yang menyatukan semula ribuan peminat melalui lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Sambutan luar biasa yang diterima malam ini membuktikan bahawa muzik Peterpan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati masyarakat,” kata pihak penganjur.










