KUALA LUMPUR 1 Ogos – Seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat kosmetik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita di sebuah pangsapuri di Cheras, tahun lalu.
Mohd. Shaffi Mokhtar, 23, didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang bekerja sebagai peniaga dalam talian berusia 25 tahun di kawasan sebuah unit Pangsapuri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini pada pukul 10.20 malam, 20 November 2017.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE











