KOTA BHARU 1 Ogos – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan mendakwa bekas Naib Presiden, Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim tidak pernah membantu badan induk itu sepanjang memegang jawatan mereka.
Bibi Ramjani berkata, kedua-kedua tokoh itu sebelum ini pernah berjanji untuk membantu Kafa mendapatkan tajaan bagi menggerakkan pasukan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.
Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang tajaan daripada kedua-dua individu tersebut.
“Rasanya saya tidak perlu ulas lebih lanjut berhubung perkara itu, apatah lagi mahu menyalahkan pengurusan apabila sudah tidak berupaya untuk memberi khidmat kepada Kafa.
“Perlu diingat, mereka bukan dilantik oleh saya, tetapi dipilih secara pertandingan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Semalam, Utusan Online melaporkan, Mohd. Aizuddin dan Nik Izani menyangkal dakwaan kononnya mereka mahu lepas tangan kerana meletak jawatan sebagai Naib Presiden ketika pasukan Kelantan sedang menghadapi masalah meruncing. – UTUSAN ONLINE











