MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengenal pasti kira-kira 100 daripada 300 premis di negeri itu yang masih tidak mempunyai sijil perakuan bomba setakat ini.
Pengarah JBPM Melaka, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, premis terbabit melibatkan antaranya bangunan pejabat, pusat perniagaan dan kilang.
“Dari 100 premis itu, tiga premis telah didakwa manakala selebihnya masih dalam proses permohonan dan siasatan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Sebelum ini, notis telah dikeluarkan terhadap premis yang dikenal pasti dan kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik bangunan yang melanggar peraturan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka di sini hari ini.
Sijil perakuan bomba merupakan satu syarat wajib bagi bangunan tinggi melebihi 30 meter yang menyatakan premis itu dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran. – Bernama











