Wanita UMNO melawat ibu bapa Adam Rayqal - Utusan Malaysia

Wanita UMNO melawat ibu bapa Adam Rayqal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Pergerakan Wanita UMNO membuat kunjungan ke kediaman ibu bapa, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naief yang ditemui meninggal dunia di rumah pengasuhnya, di Taman Amaniah, Batu Caves dekat sini hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mengetuai lawatan tersebut tiba di kediaman berkenaan kira-kira pukul 6.40 petang tadi dan meluangkan masa selama 40 minit di sana.

Beliau juga sempat memberi semangat kepada pasangan terbabit agar mereka tabah serta berharap agar permohonan mereka untuk berpindah ke kampung halaman dipermudahkan.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal yang berusia lima bulan didakwa dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang.

Dakwaan itu menyebabkan ibu bapa bayi tersebut, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan dan wa­nita itu akhir­nya membawa polis ke rumahnya serta pemeriksaan dilakukan berjaya menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk kira-kira pukul 11 malam.

Pengasuhnya, Noor Aqilah Abd. Rahman kini didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN