Wan Nur Faezah banggakan negeri - Utusan Malaysia

Wan Nur Faezah banggakan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 22 Julai – Seorang lagi anak negeri, Wan Nur Faezah Wan Mustafa, 23, membanggakan negeri dalam bidang akademik setelah meraih First Class (Hons) Ijazah Perakaunan di University of Liverpool, England baru-baru ini.

WAN NUR FAEZAH WAN MUSTAFA
WAN NUR FAEZAH WAN MUSTAFA

Kejayaan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud itu menarik perhatian umum, malah Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan anak jati kampung Pinang, Besut itu.

Dalam satu kenyataan, katanya, pujian juga harus diberikan kepada ibu bapa pelajar itu, Wan Mustafa Hussin, 56, dan Zaiton Zakaria, 54, di atas pencapaian anak kedua daripada empat beradik itu.

“Saya juga difahamkan bahawa beliau datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, namun ia bukanlah satu halangan untuk mengecapi kejayaan ini.

“Kejayaan anak kelahiran Besut yang juga anak petani ini turut menjadi kebanggaan rakyat Terengganu dan diharapkan dapat menjadi penyuntik semangat buat pelajar lain untuk mencontohi beliau,” katanya.

Wan Nur Faezah memperoleh keputusan 8A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti selama tiga tahun bermula September 2015.

Walaupun beliau mendapat tajaan Mara, namun disebabkan faktor kekangan kewangan keluarga, pernah dilaporkan sebelum pemergiannya, pelajar cemerlang itu berdepan kesukaran bagi menyediakan keperluan diri.

Wan Nur Faezah mendapat tawaran itu ketika sedang belajar di International Baccalaureate Kolej Mara Banting dan urusan pemergiannya itu turut dipermudahkan dengan bantuan UMNO bahagian Besut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN