[VIDEO] Najib terharu, hargai sumbangan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Najib terharu, hargai sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bantuan dan sumbangan berjumlah RM489,186 yang di­terimanya hari ini adalah amat bermakna.


Video oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH dan ALIF OMAR

Beliau berkata, usaha semua pihak yang membantunya terdiri daripada kalangan ketua UMNO bahagian dan ahli biasa di seluruh negara itu, pasti akan dihargai.

Najib mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan itu kerana ia dibuat tidak berdasarkan arahan kepemimpinan sebaliknya ikhlas dari hati nurani ahli parti.

“Semalam saya juga menerima sumbangan daripada ketua-ketua UMNO bahagian yang mewakili bahagian masing-masing di seluruh negara, malah pagi tadi pun sebelum saya datang ke sini (Mahkamah Kuala Lumpur) ada juga sumbangan diterima daripada wakil UMNO Bahagian Tumpat.

“Inilah tanda solidariti dan kasih sayang semua ahli dan rakyat biasa kepada pemimpin,” katanya selepas menyelesaikan proses pembayaran baki wang jaminan pembebasannya berjumlah RM500,000 di pekara­ngan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.45 pagi bagi menandatangani beberapa dokumen sebagai pengesahan pembayaran baki untuk ikat jamin beliau.

Beliau sebelum itu mene­rima kutipan hasil sumbangan tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Razak yang di­serahkan oleh Ketua Sekretariat Solidariti, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,186.

Jumlah terkumpul dari tabung tersebut adalah hasil kutipan rakyat dan juga sumbangan individu di luar negara termasuklah dari Kanada, Singapura dan Indonesia.

Ahli Parlimen Pekan itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan membantu beliau sekeluarga berdepan dengan segala cabaran ketika ini.

“Mudah-mudahan doa restu mereka semua, saya dan keluarga dapat lalui ujian besar ini dengan jayanya. Insya-Allah,” katanya sebelum bergegas meninggalkan pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur menaiki kenderaan yang sedia menanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN