TAWAU 9 Julai – Bekas calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dalam pilihan raya umum pada tahun 2013, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dipercayai memandu ketika mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Video oleh BESSE AISYAH
Beliau yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong ditahan semalam selepas kenderaan Toyota Vios yang dipandunya terbabas dan merempuh orang awam di Pusat Komersial BDC di sini menyebabkan empat lelaki terbunuh dan seorang wanita cedera parah.
Terdahulu pada pukul 9 pagi ini, suspek yang berpakaian lokap polis dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk mendapatkan perintah reman tersebut yang dikeluarkan Majistret Ferhansha Farene Mohd. Ferdaus.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
“Siasatan dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi semalam, suspek yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk gagal mengawal kenderaannya apabila tiba di lokasi kejadian sehingga terbabas ke arah bertentangan dan melanggar mangsa yang berkumpul di sebuah rumah kedai di situ.
Rempuhan kuat itu menyebabkan empat mangsa iaitu Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16, dan Chong Wei Chan, 21, maut di tempat kejadian manakala Chin Quan Xiong, 21, parah.
Suspek yang turut merempuh tiga kenderaan lain bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.









