KUALA LUMPUR 9 Julai – Seramai 30 anak yatim dan asnaf dari Pusat Jagaan Mesra Limpahan Kasih Bandar Bukit Puchong menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM10,000 daripada Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak).
Sumbangan tersebut diserahkan pada Majlis Sambutan Jalinan Aidilfitri Litrak 2018 oleh Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah.
Aziz berkata, sumbangan yang diserahkan itu bertujuan menampung perbelanjaan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.
“Dalam masa sama, majlis ini turut meraikan hampir 3,000 tetamu Litrak termasuk rakan sekerja kami.
“Pelbagai jenis juadah yang dihidangkan untuk mereka yang hadir pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan tersebut, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KESAS Sdn. Bhd. (Kesas), Mohammed Shah Samin, Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman dan Ketua Pegawai Kewangan Litrak, Stephen Low.
Majlis tersebut bermula pada pukul 12.30 tengah hari sehingga pukul tiga petang.
Selain itu, Litrak turut menderma wang tunai RM1,000 kepada pusat jagaan anak yatim tersebut dalam majlis yang sama.
Dalam perkembangan lain, Aziz berkata, pihaknya masih lagi menunggu keputusan daripada kerajaan Pakatan Harapan mengenai perancangan masa depan LLM.
“Kita masih belum membuat sebarang keputusan baharu mengenai perancangan LLM kerana menunggu dasar baharu yang bakal diputuskan oleh kerajaan hari ini,” katanya.” – UTUSAN ONLINE










