Ustaz Zawawi amal minum dua sudu madu kelulut setiap hari - Utusan Malaysia

Ustaz Zawawi amal minum dua sudu madu kelulut setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni memberitahu, beliau mengamalkan minum madu kelulut dua kali sehari disamping membuat senaman ringan setiap pagi bagi mengekalkan stamina sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau yang pertama kali menjadi calon dalam pilihan raya berkata, biarpun sibuk dengan jadual kempen, dirinya tidak akan mengabaikan soal kesihatan dan ia aspek utama yang perlu dijaga bagi memastikan beliau dapat menemui pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Saya telah bergiat aktif dalam NGO sejak berumur 20-an serta kami bekerja siang dan malam. Walaupun saya baru pertama kali dipilih sebagai calon, sibuk itu perkara biasa bagi saya.

“Cara yang saya gunakan untuk mengekalkan stamina ialah minum satu sudu besar madu kelulut setiap pagi dan malam sebelum tidur. Ada lagi ramuan saya untuk kekal cergas tetapi ia rahsia. Selain itu saya juga membuat senaman ringan setiap hari selama 10 hingga 15 minit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Mohd. Zawawi, 48, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zawawi ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon bebas, K. Murthy, 60.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Sementara itu, Mohd. Zawawi ketika ditanya penerimaan keluarga setelah beliau dipilih sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan memberitahu, keluarga sangat memahami kesibukan dirinya yang telah lama terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebelum ini saya bergerak dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daripada memegang jawatan sebagai Yang dipertua daerah sehingga kepada negeri dan terakhir menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Pemuafakatan ABIM Kebangsaan.

“Mereka sudah faham yang saya jarang berada di rumah dan selalu berada bersama masyatakat. Kalau pulang ke rumah pun selepas pukul 12 tengah malam. Tetapi saya tidak abaikan keluarga, kerana saya bekerja sendiri dan banyak masa,”jelasnya.

Mohd. Zawawi mempunyai seorang isteri, Hazlina Abdul Razak, 48, dan lima orang anak lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN