Ustaz Kazim tangguh keputusan jual Unit Tahfiz - Utusan Malaysia

Ustaz Kazim tangguh keputusan jual Unit Tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Penceramah bebas terkemuka, Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias hari ini mengumumkan untuk menangguhkan sementara hasrat untuk menjual Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi dekat sini.

Keputusan menangguhkan sementara tersebut diambil beliau selepas satu perbincangan dibuat bersama ahli jawatankuasa pusat pendidikan itu dan mengambil kira kesudian pihak luar untuk membantu pusat pendidikan tersebut termasuk kerajaan negeri Perak. 

Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah yang lebih dikenali dengan Ustaz Kazim itu berkata, keputusan sebelum ini yang mahu menutup Unit Tahfiz itu bukannya akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan pihaknya perlu memikirkan juga mengenai masa depan para pelajar dan guru serta kakitangan yang bertugas. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan untuk menutup Unit Tahfiz itu merupakan perancangan untuk tahun 2019 selepas mengambil kira keadaan saya yang seolah-olah disekat daripada menyampaikan ceramah kerana dana mengurus banyak bergantung pada ceramah.

“Kami akan memberi notis sekurang-kurangnya empat bulan sekiranya unit tersebut ditutup,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi dekat sini hari ini. 

Tambah Ustaz Kazim, pihaknya mengalu-alukan bantuan daripada pihak luar demi masa depan dakwah dan 100 pelajar yang sedang menuntut di Unit Tahfiz berkenaan yang memerlukan dana kira-kira RM150,000 termasuk bayaran gaji kakitangan dan guru serta utiliti dan makan minum para pelajar.

“Pagi ini saya mendapat panggilan daripada beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang memaklumkan kesudian berjumpa dan berbincang mengenai Unit Tahfiz ini dan kesudian mereka untuk menghulurkan bantuan. 

“Saya berharap pihak kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada mana-mana Maahad Tahfiz yang memerlukan bukan Unit Tahfiz ini sahaja memandangkan institusi ini memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk terus berkembang,” jelasnya. 

Kosmo! hari ini melaporkan, Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz di Pusat Pendidikan Al Barakah milik­nya di Manjoi dekat sini kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran yang menelan belanja RM150,000 sebulan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×