Ugut bunuh ADUN, dua ditahan - Utusan Malaysia

Ugut bunuh ADUN, dua ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Julai – Dua lelaki ditahan lewat semalam bagi membantu siasatan berhubung nota ugutan bunuh yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid baru-baru ini.

SYERLEENA

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan dalam satu kenya­taan ringkas tengah malam tadi.

Menurut Thai­vee­gan, suspek yang berusia 27 dan 49 tahun itu ditangkap di dua lokasi berasingan iaitu di Kelantan dan Gombak, Selangor.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita akan maklumkan perkembangan semasa selepas ini,” katanya.

Syerleena, 38, menemukan nota ugutan tersebut bersama tim­bunan surat di peti surat pusat khidmatnya pada kira-kira pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.

Walaupun mendakwa tidak me­ngetahui motif nota ugutan itu dihantar, namun, Syerleena tidak menolak kemungkinan berkaitan dengan fitnah terhadapnya yang tular dalam Facebook sejak Mac tahun lalu.

Kenyataan dalam laman sosial itu menyebut kononnya beliau akan menyerang institusi Islam terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) demi DAP.

Jelas Syerleena, walaupun fitnah tersebut telah disangkal, namun, mula timbul semula pada April lepas iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Wanita tersebut merupakan satu-satunya wakil rakyat DAP di Pulau Pinang yang berketurunan Melayu sejak memilih untuk me­ng­anggotai parti itu kira-kira lima tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN