MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyebut tidak akan membuat pusingan U untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebab sudah termaktub dalam Buku Harapan.
Mari teliti semula kandungan dan semangat 60 Janji yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Janji 50: Mengembalikan Wibawa Universiti Awam dan Pengajian Tinggi.
Pengiktirafan terhadap UEC hanya ‘terselit’ di bawah Janji 50 selain tujuh perkara lain iaitu pendidikan universiti percuma, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, autonomi kepada Naib Canselor universiti serta penekanan kepada aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ini termasuk penstrukturan semula pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penambahan biasiswa dan pinjaman pelajaran serta meningkatkan peluang pengajian menggunakan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Bersepadu (MOOC).
Jika kesemua tujuh perkara di bawah Janji 50 itu Maszlee kata tiada pusingan U pasti akan menggembirakan hati semua rakyat, tanpa mengira kaum.
Berbeza dengan pengiktirafan UEC yang satu-satunya perkara di bawah Janji 50 ‘makan’ sampai dua daripada 10 perenggan di halaman 134 hingga 136 Buku Harapan.
Awal-awal lagi kedudukan UEC dalam Janji 50 itu tidak betul dan mengundang tanda tanya. UEC adalah produk sekolah persendirian dan bukannya sekolah awam kelolaan kerajaan yang kononnya bertegas tentang usaha mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi di negara ini.
Adakah tanpa mengiktiraf UEC yang kurikulum dan latar budayanya jelas sepenuhnya ‘kecinaan’ itu akan menjejaskan wibawa universiti awam?
Munculnya UEC dalam Janji 50 itu pun sudah bercanggah dengan ayat pertama mukadimah tersebut; ‘…dalam usaha membentuk masyarakat yang inklusif.’
Terang lagi bersuluh, UEC yang lahir di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah bersifat ‘eksklusif’ kepada kelompok tertentu kaum itu bahkan eksklusif kepada kelas menengah (M40) dan ke atas sahaja.
Ciri eksklusif itulah yang pertubuhan Cina seperti Dong Jiao Zong pertahankan sehingga menggagalkan usaha kerajaan dahulu mewujudkan sekolah satu aliran.
Berbeza dengan sekolah aliran kebangsaan yang jauh lebih menepati usaha membentuk masyarakat yang inklusif kerana membuka ruang kepada darjah integrasi sosial lebih tinggi malah mampu diikuti anak-anak Malaysia walaupun dari golongan B40.
Apabila UEC mahu diiktiraf secara tergesa-gesa sebelum akhir tahun ini, bak kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, ia tidak adil kepada ramai lagi pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk anak Cina apabila pelajar UEC yang datang dari keluarga kaya turut sama menikmati pendidikan tinggi percuma (yang dijanjikan) kelolaan kerajaan.
Sekarang, tanpa UEC diiktiraf pun persaingan sesama ratusan ribu pemegang SPM dan STPM setiap tahun untuk masuk universiti awam begitu sengit, apatah lagi jika kerajaan mengiktiraf UEC.
Tidak adil buat seluruh anak Malaysia di aliran persekolahan kebangsaan berebut dengan lepasan sekolah persendirian ini.
Jadi, bagaimana Maszlee boleh memberi dalil tiada ‘flip-flop’ janji yang ditawarkan dalam Buku Harapan sedangkan kemunculan UEC dalam Janji 50 itu pun melanggar semangatnya?
Jelas, UEC tidak inklusif dan bukannya produk pendidikan awam tetapi ironinya kerajaan pula mahu iktiraf supaya sijilnya laku masuk ke universiti awam dan perkhidmatan awam.
Kemunculan UEC dengan status yang tidak diiktiraf sebagai pendidikan kebangsaan itu tidak konsisten semangatnya dengan perkara-perkara lain dalam Janji 50. Belum lagi dengan sekurang-kurangnya enam janji utama PH.
Malaysia baharu mestilah menjunjung tinggi kepentingan nasional dengan mengabaikan kepentingan perkauman semata-mata. Jika mana-mana pihak mahu terus kekal dengan nilai perkauman seperti UEC, tidak perlulah diinstitusikan.
Sepatutnya, Malaysia baharu mengajak rakyat fokus kepada usaha pendidikan di bawah satu bumbung dengan merombak dan memperbaiki sistem pendidikan kebangsaan, bukan membaja suburkan pendidikan berteraskan perkauman.
Rakyat sudah cukup muak dengan politik tawar-menawar perkauman yang menekan kerajaan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN) dan blok pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya sejak 60 tahun lalu bahkan sejak zaman penjajah lagi.
Selamatkan Malaysia baharu daripada susupan halus ancaman rasisme atas topeng meraikan kepelbagaian. Tolak UEC, utamakan pendidikan kebangsaan.
MOHD. ARIF ATAN
Bukit Beruntung, Selangor










