UEC: PPBM jangan khianati orang Melayu - Utusan Malaysia

UEC: PPBM jangan khianati orang Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA adalah antara penyokong kuat pelantikan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan atas dasar beliau seorang ahli akademik dan pengkhususan pendidikan Islam.

Namun, saya kini menjadi antara orang paling kecewa apabila Maszlee bersedia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dipercayai selepas mendapat tekanan daripada DAP khususnya Timbalannya, Teo Nie Ching.

Jika benar Maszlee sebagai seorang Melayu Islam gagal menolak agenda cauvinis UEC, maka saya anggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara keseluruhannya sudah gagal dan mengkhianati pengundi Melayu.

Memang sudah dijangkakan DAP akan menuntut bermacam perkara termasuk mengangkat bahasa Mandarin setaraf bahasa kebangsaan (di Kementerian Kewangan) tetapi kenapa PPBM yang kononnya membawa suara Melayu ‘tunduk’ akur?

UEC sebenarnya bukan isu kaum Cina pun sebaliknya hanya sebahagian daripada komuniti Cina yang tidak mahu keluar dari kepompong dan cuma hidup dalam komuniti sendiri.

Golongan ini sahaja yang ‘untung’ jika UEC diiktiraf sebaliknya seluruh komuniti Cina akan terkena tempias amarah orang Melayu kerana menganaktirikan pendidikan kebangsaan.

‘Diimport’ sepenuhnya dari Taiwan, kenapa pula mahu UEC diangkat setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Maszlee baru-baru ini berkata pengiktirafan itu komprehensif dan holistik tanpa menggugat bahasa Melayu tetapi bukankah mengiktiraf sijil yang mengetepikan bahasa kebangsaan, demi kepentingan golongan ‘kekok’ bahasa kebangsaan, pasti menjejaskan kedudukan bahasa Melayu?

Suka saya ingatkan Dr. Maszlee bahawa PPBM tidak terikat dengan manifesto DAP kerana parti itu cuma menggunakan logo PKR tetapi tidak pernah menyertai sepenuhnya Pakatan Harapan.

Tambahan pula, ada tujuh janji utama yang perlu ditunaikan dahulu jika mengikut janji PH khususnya pendidikan universiti percuma, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan autonomi kepada Naib Canselor.

Paling tidak pun tunaikan dahulu janji pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum melayan UEC yang menguntungkan sebilangan kecil komuniti Cina tetapi ‘menghina’ sebilangan besar rakyat Malaysia.

Jelas sekali UEC akan menjejaskan perpaduan yang sekarang sudah cukup parah, umpama tukul kepada pahat bertubi-tubi mengopek lebih dalam kemarahan orang Melayu dan Islam, tidak sampai tiga bulan kerajaan baru memerintah.

HASHIM HARUN

Senawang, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN