SEBERANG PERAI – Polis menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah ketika serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Lembah, Penaga di sini awal pagi tadi.
Suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 48 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 1.05 pagi.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya sejak beberapa hari lalu berhubung kegiatan pengedaran dadah melibatkan suspek terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas salah seorang suspek telah menemui dua peket plastik lutsinar dan satu keratan penyedut minuman berisi bahan disyaki heroin serta syabu dan dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja di dalam poket seluarnya.
“Pemeriksaan di kediaman berkenaan turut menjumpai 19 bungkusan plastik besar dan 12 bungkusan plastik kecil yang disyaki berisi air ketum.
“Hasil siasatan lanjut mendapati dadah tersebut untuk dijual kepada penagih di kawasan SPU dan nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan RM2,530,” katanya dalam satu kenyatan di sini sebentar tadi. – K! ONLINE










