Tidak perlu berundur - Utusan Malaysia

Tidak perlu berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HASRAT Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk berundur daripada arena politik dan seterusnya tidak akan memegang apa juga jawatan dalam kerajaan sekiranya suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin bertanding jawatan Presiden PKR perlu dipertimbangkan semula.

Sifat keibuan, keserasian serta kesungguhan beliau untuk membantu kebajikan rakyat semenjak memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga agak terserlah dan begitu bertanggungjawab walaupun baharu sahaja beberapa bulan dilantik.

Diharap Dr. Wan Azizah diberikan peluang dan ruang untuk terus memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga walaupun berkemungkinan besar Anwar akan menggantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apa salahnya kalau suami isteri berada di dalam Kabinet yang sama sekiranya Dr. Wan Azizah mampu menjalankan tugas sebagai menteri dengan begitu cemerlang.

Setidak-tidaknya biarkan beliau memegang jawatan menteri itu sehingga Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila sampai masanya Tun Dr. Mahatihr Mohamad berhasrat mengundurkan diri.

Apa yang penting ketika ini adalah ketelusan dan kegigihan kerajaan baru ini dapat menunaikan janji untuk memakmurkan negara dan juga memakmurkan rakyat di samping menghapuskan gejala rasuah, dadah dan segala penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan.

Pulihkan negara ini menjadi seperti dahulu tanpa kebanjiran pendatang haram dan pastikan semua anak muda kita tidak lagi menjadi penganggur sebagai persediaan untuk menjadi sebuah negara yang maju dan bermaruah di mata dunia.

Yang pasti, harga barang dapat diturunkan secepat mungkin serta tunaikan janji untuk hapuskan tol dan kurangkan harga minyak seperti dalam manifesto pilihan raya lalu.

Rakyat hanya mahukan keselesaan dan ketenangan hidup serta aman damai tanpa mengira warna kulit, status dan darjat seseorang asalkan mereka ini warga Malaysia yang mahukan negara ini terus maju.

SYED ABDULLAH OSMAN

Ampangan, Seremban

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN