DUNGUN 22 Julai – Taman Herba Pasir Raja, sebuah projek Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD), meliputi kawasan seluas lebih 400 hektar di Pasir Raja di sini berpotensi menjadikan negeri ini sebagai hab herba dan produk suplimen kesihatan negara.
Projek di bawah pelan induk Wilayah Eknomi Pantai Timur (ECER) melalui perkongsian awam-swasta, ia digerakkan oleh syarikat induk, Bioalpha Holding dengan sokongan padu kerajaan Pusat dan negeri bagi membangunkan industri herbal secara komersial.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pembukaan HICD hari ini dengan diiringi anakanda baginda, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangun ECER (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Ketua Pegawai Eksekutif Bioalpha, William Hon.
Berucap dalam majlis itu, Abdul Rahman menjelaskan selain produk untuk pelanggan dalam bentuk asal melalui hasil pertanian, pihak syarikat melalui pengilangan hasil penyelidikan dan pembangunanya turut mengeluar dan memasarkan produk di bawah label Optotec dan Nushine serta memiliki francaisi farmasi jenama Constant.
Katanya, syarikat bioteknologi tempatan itu yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2015 dan turut membangunkan taman herba di Desaru Johor, mengeluarkan pelbagai produk suplimen kesihatan untuk pelbagai fungsi seperti penjagaan obesiti, peningkatan imuniti badan dan pemuliharaan kulit.
“Syarikat yang mempunyai kumpulan teknikal dalam bidang sains, kimia, teknologi makanan dan pemakanan akan kekal komited mereka cipta formulasi untuk penggunaan pengeluaran produk suplimen kami agar menetapi citrasa dan kehendak pelanggan di dalam dan luar negara,”ujarnya.
Katanya, setakat ini 20 jenis tanaman herba telah ditanam dan berjaya melahirkan 32 peladang satelit herba di mukim Pasir Raja yang turut berpeluang mengusahakan secara komersial tanaman herba yang belum terdapat di negara ini.
“Kami turut mengeluarkan produk minuman berasas herba dengan memperkenalkan jenama
tempatan yang turut memperkenalkan negeri ini dari sudut pelancongan,”ujarnya.
Sementara itu, Dr .Ahmad Samsuri pula berkata, pembukaan HICD adalah selaras dengan harapan kerajaan untuk merealisasikan potensi permintaan herba tropikal yang tinggi dalam industri farmaseutikal, nutraseutikal dan kosmeseutikal.
“Projek usahasama awam-swasta menerusi model syarikat induk yang diperkenalkan oleh ECERDC menawarkan manfaat yang besar kepada rakyat di samping mempercepatkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Menerusi model ini, pihak kerajaan menyediakan pelaburan dan pembangunan prasarana manakala sektor swasta pula mengusahakan bahagian komersial,” ujarnya sambil berharap ia dapat dikembangkan dalam sektor pertanian lain. – UTUSAN ONLINE










