KUALA LUMPUR 18 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) merupakan tender terbuka antarabangsa yang dipanggil secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.
Jelas beliau, tender itu hanya ditutup pada 28 Disember tahun ini dan pembida yang berjaya akan dinilai serta diputuskan secara bersama oleh kedua-dua negara.
“Tender itu juga mensyaratkan pembida untuk menawarkan pakej pembiayaan dan kewangan. Berikutan projek HSR adalah sangat kompetitif dan lazimnya pembida akan disokong oleh kerajaan masing-masing.
“Untuk itu, pakej pembiayaan juga sangat kompetitif di mana faedah pada kadar sifar atau 0.1% bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tidak lama dahulu, sebuah syarikat Jepun memenangi projek HSR di India dengan pakej pembiayaan 0.1% faedah bagi tempoh 50 tahun dengan 15 tahun moratorium,” katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau meluahkan kekecewaannya terhadap jawapan yang diberikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan projek HSR yang diutarakan olehnya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed Azmin dalam jawapannya berkata, kos tersembunyi menjadi punca sebenar projek HSR mencecah RM110 bilion berbanding kos asal RM55 bilion. – UTUSAN ONLINE










