KUALA LUMPUR 11 Julai – Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk Pakatan Ekonomi dan Dakwah (Pack-Ecdah) mendesak kerajaan supaya menyemak dan menstruktur semula sektor koperasi dalam usaha memperkukuhannya ke tahap lebih baik.
Kegagalan mengurus dan mengawal selia sektor koperasi dilihat telah menyebabkan sektor yang dikuasai golongan bumiputera ini hanya mampu menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun mempunyai aset bernilai lebih RM135.8 bilion sekali gus mengakibatkan ahli koperasi tidak menerima hasil yang setimpal dengan pelaburan.
Jurucakap Pack-Ecdah, Datuk Seri Dr. Mustapa Kamal Maulut berkata, penstrukturan semula sektor koperasi seharusnya bermula dalam tiga institusi pentadbir bidang ini iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Maktab Koperasi Malaysia.
Menurutnya, hal ini kerana kegagalan ketiga-tiga institusi tersebut terutamanya SKM untuk berfungsi dengan baik telah mengakibatkan sektor koperasi ‘dicemari’ dengan banyak ketirisan dan tiada pertumbuhan bagi tempoh 10 hingga 20 tahun lalu.
“SKM sebagai badan pentadbir sektor koperasi sepatutnya hanya diberikan tugas dalam hal penubuhan, pendaftaran dan penguatkuasaan sahaja seperti yang dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala tugas pembangunan perniagaan koperasi wajar dilakukan oleh jabatan lain.
“Senario pengurusan SKM ketika ini yang menggabungkan kesemua tugas sering kali menimbulkan percanggahan kepentingan antara kakitangan SKM dan menimbulkan ketirisan maklumat sehingga mengakibatkan sektor ini dilihat terabai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











