SPRM perjelas kekeliruan berhubung pembekuan akaun bekas Perdana Menteri - Utusan Malaysia

SPRM perjelas kekeliruan berhubung pembekuan akaun bekas Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan oleh segelintir pihak menerusi media berhubung pembekuan isu dan pelepasan akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut satu kenyataan hari ini, SPRM ingin menegaskan bahawa agensi itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun tersebut malah SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun itu apabila persoalan itu ditimbulkan oleh pihak media.

Jelasnya, terdapat dakwaan pihak tertentu bahawa SPRM telah mengadakan publisiti besar-besaran mengenai pembekuan akaun Najib namun menyepi apabila pembekuan akaun tersebut telah ditarik balik. 

“SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini tidak timbul kerana suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun malah SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditimbulkan oleh pihak media.

“Suruhanjaya ini juga ingin menjelaskan bahawa pelepasan pembekuan akaun tersebut adalah disebabkan ia tiada kaitan dengan siasatan SRC International dan juga 1MDB (RM2.6 bilion),” katanya.

Dalam pada itu, SPRM turut menegaskan bahawa tindakan melepaskan pembekuan akaun tersebut bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu telah selesai dilaksanakan.

“SPRM ingin menarik perhatian bahawa terdapat akaun-akaun bank lain Najib yang juga terlibat dengan SRC International dan 1MDB (RM2.6 bilion) tidak dibekukan kerana akaun-akaun tersebut telah ditutup sebelum siasatan SRC International dan 1MDB (RM2.6 bilion) bermula pada Julai 2015.

“Ini bermakna, pembekuan akaun bank Najib berkaitan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan telah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan,” jelasnya,

Sehubungan itu, SPRM ingin menegaskan bahawa sehingga kini, siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN