PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu, 4 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, mesyuarat khas suruhanjaya itu yang diadakan semalam turut menetapkan 21 Julai depan sebagai hari penamaan calon.
“SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen bermula pada hari penamaan calon hingga 11.59 malam 3 Ogos. Bagi urusan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka permohonan adalah pada 9 Julai dan tarikh tutup permohonan pada 21 Julai.
“Dengan ini, SPR juga telah bersetuju melantik Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 2 Julai lalu.









