PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menyiapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada hakim sebelum membenarkan perkahwinan bawah umur diteruskan.
Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rodziah Ismail berkata, penetapan SOP oleh JKSM itu adalah bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur umat Islam di negara ini.
“Sebelum ini, tiada SOP yang digunakan oleh semua negeri sebagai panduan.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berhubung SOP ini kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian tetapi JKSM. Sebarang kenyataan lanjut berkenaan isu ini perlulah dirujuk kepada pihak JKSM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Rodziah, pihak kementerian telah mengadakan pertemuan dengan pihak JKSM pada 2 Julai lalu bagi memberi input berkaitan SOP berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun SOP akan diwujudkan komitmen kerajaan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bawah umur kepada 18 tahun masih diteruskan. – K! ONLINE











