Sindiket gores dan menang tukar taktik - Utusan Malaysia

Sindiket gores dan menang tukar taktik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 8 Julai – Orang ramai perlu berhati-hati dengan penipuan sindiket gores dan menang yang kini kembali dengan modus operandi berbeza dengan memberikan janji manis untuk memperdayakan orang ramai.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Firdaus Zakaria berkata, dahulu aktiviti ini lebih kepada peraduan dengan cara gores dan menang tetapi kini mereka menawarkan hadiah percuma kepada pelanggan.

Beliau berkata, sebanyak 17 aduan berkaitan modus operandi itu diterima bermula April lalu dan ianya melibatkan kos transaksi bayaran hampir RM100,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada jumlah tersebut, aduan tertinggi transaksi yang direkodkan adalah sebanyak RM17,000. Pihak ini masih meneruskan agenda mereka dengan kaedah baru itu bagi mengaburkan mata pengguna.

“Kaedah yang digunakan adalah dengan menawarkan “hadiah percuma” untuk menarik minat pengguna. Seterusnya ,kumpulan ini akan memperdaya dan menarik pelanggan untuk memberikan kad debit untuk tujuan pengesahan.

“Akhirnya transaksi pemindahan wang telah berpindah kepada akaun syarikat tanpa persetujuan,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri Kelantan 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Firdaus berkata , antara kawasan tumpuan aktiviti ini adalah di Pasar Raya G Orange,Tunjung; Pasar Raya Pantai Timur, Pengkalan Chepa; Pasar Raya Parkson Kota Bharu; Pasar Raya Econjaya Kok Lanas dan Pasar Raya Pantai Timur, Bukit Bunga.

“Saya nasihatkan penguna agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis dan hadiah yang ditawarkan serta tidak mudah memberikan kad debit mahupun kad kredit kepada orang lain walaupun untuk tujuan pengesahan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×