KOTA BHARU 9 Julai – Sebanyak 17 aduan melibatkan sindiket ‘gores dan menang’ yang kini kembali dengan modus operandi berbeza direkodkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri sejak April lalu sehingga semalam.
Sindiket itu dikatakan mengubah taktiknya tidak lagi meminta orang ramai menggores untuk menang tetapi menawarkan janji-janji manis dengan pelbagai hadiah percuma untuk mengaburi pelanggan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Firdaus Zakaria berkata, kos transaksi bayaran yang direkodkan dalam tempoh terbabit mencecah RM100,000.
“Daripada jumlah tersebut, aduan tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak RM17,000 bagi satu transaksi.
“Golongan yang menjadi warga emas dan penduduk di luar bandar sebagai sasaran namun, ada juga kes yang dilaporkan melibatkan golongan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri Kelantan 2018 di sini, semalam.
Firdaus berkata, selepas berjaya menarik minat pelanggan dengan hadiah percuma, sindiket itu kemudiannya meminta pelanggan memberikan kad debit untuk pengesahan.
“Akhirnya transaksi pemindahan wang telah berpindah kepada akaun syarikat tanpa persetujuan.
“Saya nasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis dan hadiah yang ditawarkan serta tidak mudah memberikan kad debit mahupun kad kredit kepada orang lain walaupun untuk tujuan pengesahan,” ujarnya.









