Rekod perkhidmatan e-hailing jauh lebih baik - Utusan Malaysia

Rekod perkhidmatan e-hailing jauh lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA kelebihan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber adalah kemudahan pelanggan mendapatkan kenderaan dan harga yang jauh lebih murah berbanding teksi.

Saya menyokong saranan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa pemandu perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).

Namun, saya tidak bersetuju jika sampai mahu mengehadkan jenis dan warna kenderaan yang digunakan seperti dikemukakan Penasihat Persatuan Perkhidmatan Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail baru-baru ini.

Itu langkah ke belakang dan akan menyebabkan bilangan pemandu e-hailing turun dengan mendadak sama ada disebabkan tidak mampu membeli jenis kereta ditetapkan atau pun sudah membeli kereta lain untuk e-hailing yang tidak dibenarkan.

Label atau warna kenderaan e-hailing juga tidak sesuai demi keselamatan pemandu kerana sudah banyak kes pemandu teksi menyerang pemandu dan juga pelanggan e-hailing sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan kenderaan.

Perkara utama yang perlu kerajaan dan menteri ambil kira adalah keselamatan penumpang dan juga pemandu khususnya dari segi insurans. Selain itu, e-hailing jauh lebih selamat daripada teksi kerana mempunyai rekod sistem pengesanan global (GPS), sistem anugerah ‘bintang’ oleh penumpang malah kaedah pembayaran yang teratur dan telus.

Saringan rekod jenayah akan menjadikan perkhidmatan e-hailing jauh lebih selamat kepada penumpang kelak. Pemandu e-hailing juga lebih berhemah di jalan raya berbanding pemandu teksi yang rata-ratanya mempunyai rekod aduan daripada orang ramai.

PENUMPANG GRAB

Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN