KUALA LUMPUR 30 Julai – Raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan yang dianggotai lima orang ahli termasuk tokoh agama dan akademik bagi menambah baik institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan berkata, anggota jawatankuasa tertinggi itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan perkenan raja-raja Melayu.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid manakala Felo Pusat Islam Oxford yang juga merupakan Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan Perak, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti sebagai timbalan.
“Ahli-ahlinya pula terdiri daripada bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz,” katanya.
Menurut kenyataan itu, fungsi jawatankuasa tersebut antaranya adalah untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman syariah di peringkat Persekutuan. -UTUSAN ONLINE










