TOKYO 8 Julai – Proses damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara dilanda krisis hari ini selepas Pyongyang dengan berang menolak tuntutan ‘ala-samseng’ Washington yang mahu pelucutan senjata segera dilakukan walaupun perbincangan serius selama dua hari telah berlangsung.
Setiausaha AS, Mike Pompeo kini berada di sini untuk memberi taklimat kepada rakan sejawatnya dari Jepun dan Korea Selatan tentang perbincangan tersebut yang disifatkan positif.
Walau bagaimanapun beliau enggan mengulas kenyataan Pyongyang yang menolak usahanya dan meminta agar Presiden Donald Trump untuk mengkaji semula proses damai itu.
Melalui Twitter, Pompeo berkata, beliau telah mengadakan ‘mesyuarat positif’ dengan rakan sejawatnya dari Jepun dan dan berbincang tentang ‘mengekalkan tekanan maksimum’ terhadap Korea Utara.
Beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe termasuk Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha hari ini.
Terdahulu pegawai AS yang enggan dikenali berkata, kenyataan ‘keras’ Korea Utara itu hanyalah taktik rundingan namun selepas dua hari, kenyataan itu menandakan Pyongyang kembali kepada pendekatan lama yang ‘keras’.
Sementara itu agensi berita Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa AS tersilap jika mengandaikan Korea Utara boleh bersabar dan menerima tuntutan yang menunjukkan pemikiran ‘ala samseng’.
Pyongyang turut mengingatkan negaranya telah memusnahkan sebuah tapak ujian nuklear yang disifatkan Trump sebagai kejayaan proses damai.
“Kami menjangkakan AS membawa cadangan yang kukuh tetapi jangkaan dan harapan kami terlalu jujur sehingga ditipu,” lapor KCNA.
Kenyataan Korea Utara itu dilihat amat berbeza berbanding kenyataan Pompeo sebelum berlepas ke Tokyo dan menghalang proses damai yang diusahakan Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada bulan lalu. – AFP









