SHAH ALAM – Satu set borang pencalonan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis telah dibeli setakat hari ini.
Sumber daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor ketika dihubungi Bernama berkata, borang itu dibeli oleh seorang individu lelaki dipercayai calon Bebas yang akan bertanding pada PRK berkenaan.
Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pembeli tersebut.
Seramai 51,217 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos depan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.
Penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN,
Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – Bernama










