Polis tumpas sindiket edar dadah di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Polis tumpas sindiket edar dadah di pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan seorang lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam dalam satu serbuan di Kondominium di Jalan Galloway di sini pada 5 Julai lalu.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barang kes yang bernilai kira-kira RM1.06 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun.

“Polis juga telah merampas dadah serbuk disyaki ekstasi, 80 biji pil ekstasi, 90 biji pil Erimin 5 dan dadah jenis Ketamin.

“Jumlah rampasan yang diperoleh boleh membekalkan bekalan dadah kepada kira-kira 40,000 pengguna,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Mazlan, sindiket tersebut mendapatkan bekalan dadah mereka dari sekitar Lembah Klang dan melakukan pembungkusan untuk diedarkan.

“Mereka akan memberikan dadah yang sudah dibungkus kepada orang tengah untuk diedarkan kepada kelab-kelab hiburan di ibu negara.

“Dadah tersebut diletakkan di dalam minuman ringan yang dihidangkan kepada pengunjung yang rata-ratanya tidak mengetahui kandungan minuman mereka,” ujarnya.

Kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula 6 Julai lalu hingga 12 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN