LANGKAWI 22 Julai – Seorang lelaki ditahan polis di rumahnya di Kampung Bukit Malut, Mukim Kuah, dekat sini, semalam dipercayai merogol anak tirinya sebanyak dua kali pada pertengahan Jun dan awal Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya melakukan tangkapan terhadap buruh binaan berusia 33 tahun itu pada pukul 10.15 malam tadi setelah mangsa yang berusia 15 tahun dan tidak bersekolah membuat laporan polis kira-kira tiga jam sebelum itu.
“Mangsa yang bekerja sebagai pelayan kedai makan mendakwa dirogol lelaki tersebut di biliknya pada Jun tahun lepas sebelum sekali lagi diperkosa ketika sedang mandi di bilik air rumah setinggan berkenaan pada awal Julai 2017.
“Siasatan awal mendapati mangsa ada menceritakan perkara itu kepada ibunya kira-kira tiga hari setelah dirogol buat kali kedua namun wanita itu hanya memarahi suaminya dan memaafkan lelaki itu tanpa membuat sebarang laporan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Difahamkan suspek merupakan suami keempat kepada ibu mangsa yang bercerai dengan tiga suaminya sebelum ini.
Mengulas lanjut katanya, beberapa hari lalu mangsa ada memaklumkan kejadian itu kepada abang kandungnya yang tinggal di kampung berhampiran.
“Atas desakan abang kandungnya itu, mangsa kemudiannya bersetuju untuk membuat laporan polis semalam yang membawa kepada tangkapan suspek beberapa jam selepas itu,” katanya.
Tambahnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk tindakan lanjut manakala mangsa dihantar ke Hospital Langkawi untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE










