TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 1.8 kilogram dadah bernilai RM61,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Bernam, Hutan Melintang di sini Selasa lalu.
Serbuan pada pukul 2 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an yang tinggal bersendirian di rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian berjaya menemui 19 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin seberat 1704.79 gram dan 11 paket berisi dadah methamphetamine seberat 100.51 gram.
“Ketika serbuan dijalankan, lelaki terbabit sedang berehat. Siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu.
“Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan ujian saringan air kencing mendapati positif methamphetamine,” katanya.
Menurut Mohd. Marzukhi,suspek telah direman selama seminggu bermula Selasa hingga hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. – K! ONLINE










