Polis buka semula siasatan bayi maut di rumah pengasuh pada Mac lalu - Utusan Malaysia

Polis buka semula siasatan bayi maut di rumah pengasuh pada Mac lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Polis membuka semula siasatan terhadap kes kematian seorang bayi lelaki berumur empat bulan yang meninggal dunia di rumah seorang pengasuh di Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tasik Kesuma, Beranang di sini pada 12 Mac lalu yang tular di laman media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, siasatan kes berkenaan telah dilakukan oleh Ketua Polis Balai Beranang dan dikelaskan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Siasatan tersebut dilakukan sebaik sahaja menerima laporan yang dibuat oleh ibu bayi kira-kira pukul 1.30 petang hari yang sama manakala bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang pada 13 Mac lalu dan doktor berpendapat punca kematian adalah tidak diketahui.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Julai lalu dan kemudiannya dirujuk kepada pejabat koroner untuk permohonan inkues bagi mengetahui punca kematian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa telah meletakkan anaknya di rumah pengasuh tersebut pada pukul 7.45 pagi untuk dijaga.

“Pada pukul 8.30 pagi, bayi itu diambil oleh anak perempuan pengasuh berumur 25 tahun yang tinggal di pangsapuri yang sama dan mula menangis selepas bangun daripada tidur pada pukul 12 tengahari.

“Anak perempuan pengasuh mula memanaskan susu kerana beranggapan bayi itu lapar tetapi tidak lama kemudian mendapati mangsa mula pucat dan kulitnya kebiruan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bayi tersebut telah dibawa ke sebuah klinik di Bandar Tasik Kesuma di sini untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya.

Semalam, sebuah status yang ditulis oleh pemilik Facebook yang dikenali sebagai Shahida Shaari mendakwa anaknya maut ketika dalam jagaan pengasuh tersebut.

Berdasarkan catatan itu juga, wanita tersebut mendakwa pengasuh itu telah mengakui kesalahannya namun tiada siasatan dijalankan memandangkan dia mempunyai saudara yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Ketika diminta mengulas tentang dakwaan pengasuh mempunyai saudara yang bekerja sebagai anggota polis,Ahmad Dzaffir menafikan dakwaan berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×