KUALA TERENGGANU 18 Julai – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu hari ini sebulat suara menyambut baik dan menghormati hasrat Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti berkenaan September ini.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu yang menyaksikan kesemua 35 ahli yang hadir menurunkan tanda tangan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar bagi menggalas jawatan presiden parti tersebut.
Dalam sidang media khas selepas mesyuarat itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, PKR negeri percaya keputusan Anwar untuk bertanding jawatan pemimpin nombor satu PKR itu sebagai keputusan tepat selain mempunyai karisma memimpin negara ketika era politik Malaysia baharu sekarang ini.
Malah jelasnya, Anwar juga sebagai simbol penyatuan rakyat selain memperkasakan lagi PKR serta mengukuhkan jalinan sesama parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.
“Keadilan (PKR) Terengganu juga menghormati kesediaan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk beri laluan kepada Ketua Umum (Anwar). Jasa dan pengorbanan Datuk Seri Presiden (Wan Azizah) yang berjaya memimpin parti ke tahap sekarang amat kita sanjungi.
“Kami akan terus menyokong dan berdiri teguh di belakang kepemimpinan Datuk Seri Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah demi parti, rakyat dan negara,” katanya.
Azan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar menyatakan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Primula Beach Hotel di sini lewat petang ini. – UTUSAN ONLINE









