PKR dijangka umum calon PRK Sungai Kandis esok - Utusan Malaysia

PKR dijangka umum calon PRK Sungai Kandis esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pengumuman itu akan dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu majlis di kawasan DUN berkenaan. 

“Semalam telah ada mesyuarat biro politik pusat yang dihadiri saya dan secara konsensus telah dibuat keputusan berhubung calon Sungai Kandis. 

“Besok kita akan ada pelancaran jentera (PRK Sungai Kandis) dan jika dibenarkan serta muktamad kita akan umumkan esok,” katanya ketika ditemui selepas Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di sini hari ini. 

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 21 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan. 

Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu.

Amirudin yang juga Setiausaha PKR Selangor bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci berhubung calon sama ada calon tempatan atau luar. 

“Kita tunggu presiden parti yang umum, bukan posisi saya untuk umumkan mengenai perkara ini. Sama ada calon tempatan, luar, muda atau sebaliknya, apa yang pasti keputusan telah pun dibuat.

“Apa yang pasti, ketika ini kita sentiasa dan perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya, sama ada dua penjuru atau tiga, kita kena bersedia,”ujarnya. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu bulan depan, Amirudin memberitahu ia terpulang kepada bekas Menteri Besar Selangor itu. 

“Keputusan sama ada bertanding presiden atau tidak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin yang penting sekarang ini baru Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding dan ramai pihak menyambut dengan baik. 

“Masing-masing ada pandangan sendiri tetapi apa yang penting adalah memastikan pertandingan atau apa-apa perkara adalah untuk mengukuhkan parti bukan merosakkan parti,” ujarnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN