MADINAH 8 Julai – Seramai 141 petugas haji termasuk petugas media bagi musim haji 1439 Hijrah/2018 selamat tiba di sini sekitar pukul 4.30 pagi waktu tempatan (9.30 pagi waktu Malaysia).
Sebaik sampai di Jedah, mereka dibawa ke Pejabat Konsul Haji Malaysia untuk sesi taklimat dan jamuan makan.
Kumpulan petugas media akan berada di sini selama 12 hari sebelum memasuki Mekah.
Kumpulan perubatan dan kebajikan pula yang siap berihram terus menuju ke Mekah untuk membuat persiapan ketibaan jemaah haji Malaysia.
Petugas haji yang tiba hari ini adalah sebahagian daripada keseluruhan 600 petugas bagi musim haji tahun ini.
Kumpulan pertama melibatkan 13 petugas teknologi maklumat berlepas pada 2 Julai lalu manakala selebihnya berlepas pada 11 Julai ini.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadual 14 Julai ini dan penerbangan terakhir pada 15 Ogos.
Penerbangan pulang pula dijadual pada 29 Ogos hingga 25 September.
Sebanyak 81 penerbangan sewa khas akan digunakan bagi operasi haji tahun ini melibatkan 40 penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan 41 penerbangan Flynas.
Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 20 Ogos. – UTUSAN ONLINE










