KUALA LUMPUR 9 Julai – Menggunakan aplikasi sosial WeChat untuk menarik golongan remaja menyertai pesta seks dan dadah di kondominium yang disewa khas.
Itu tindakan yang dilakukan penganjur namun kegiatan tersebut gagal setelah diserbu pihak polis dalam dua operasi berasingan di Jalan Ceylon dan Jalan Ampang di sini pada Selasa serta Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 68 individu berusia antara 14 hingga 44 tahun, termasuk dua penganjur ketika sedang leka berpesta.
“Pada serbuan pertama kira-kira pukul 5.45 petang Selasa lalu, pihak polis menahan 15 individu serta merampas 4,000 biji pil eramin 5, 19 biji pil ekstasi dan 2.6 gram ketamin yang dianggarkan bernilai RM60,000.
“Susulan itu, bertindak atas maklumat telah membawa serbuan kedua kira-kira pukul 5.15 petang dengan penahanan 53 individu termasuk seorang remaja perempuan warga Indonesia berusia 14 tahun yang sedang berpesta dalam sebuah kondominium tiga bilik di Jalan Ampang, Khamis lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, penganjur dipercayai mengiklankan pesta seks dan dadah di WeChat dengan pembayaran RM100 hingga RM200.
Jelas beliau, kondominium mewah itu juga disewa oleh penganjur dengan harga lingkungan RM600 hingga RM1,300 sehari.
“Hasil siasatan mendapati pesta itu kerap bertukar lokasi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kesemua yang ditahan didapati positif dadah serta direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.









