KUALA LANGAT 11 Julai – Seorang pembantu tadbir di sebuah kolej di Telok Datok maut ditikam rakan sekerjanya di bahagian leher dan badan dalam satu kejadian, di sini petang tadi.
Suspek berusia 28 tahun berasal dari Jenjarom merupakan pembantu makmal dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital.
Difahamkan, mangsa berasal dari Terengganu berusia 57 tahun mula bekerja di kolej tersebut sejak 2000.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada suspek sendiri kira-kira pukul 2.40 petang mengaku telah membunuh rakannya itu setor pejabat pentadbiran kolej tersebut.
“Sejurus di lokasi kejadian, polis mendapati hanya suspek dan mangsa sahaja berada di dalam setor tersebut.
“Siasatan awal suspek mengaku secara lisan telah menikam dan mencekik mangsa sehingga mati,” katanya, hari ini.
Tambahnya, mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE









