KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dengan nada sinis menegur sikap segelintir pimpinan kerajaan Pakatan Harapan menyebarkan virus perkauman dan agama yang berpotensi merosakkan masa depan negara.
Mohd. Asri dengan nada tegas berkata, sepatutnya mereka menumpukan isu-isu yang mengukuhkan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Malangnya, mereka sibuk dengan isu yang mampu membawa kepada krisis perkauman dan agama.
“Sepatutnya, urus tadbir dan pembentukan sistem pentadbiran yang memberikan impak kepada integriti dan perpaduan rakyat diutamakan.
“Mereka yang terlibat dengan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) sibuk ingin menghantar pendakwah Islam ke India.
“Ada pula yang viral (tular) ‘ Melayu sebagai pendatang’ selain meminta menteri kaum Melayu yang tidak mahu menunaikan hasrat kaumnya meletak jawatan,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya Dr. Maza.com hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang berusia 47 tahun berkata, pemimpin Pakatan Harapan yang bersikap sedemikian perlu disingkirkan segera.
“Jika tidak dibuang virus-virus ini dalam Pakatan Harapan boleh membawa kepada konflik perkauman di negara ini yang sukar diubati kelak,” katanya.
Mufti Perlis yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini bersifat kritikal dan sering memberikan pandangan mengenai isu-isu politik tempatan dan antarabangsa. – K! ONLINE










