KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super selepas terpaksa akur turun pangkat ke Liga Premier musim depan.
Kekalahan skuad Hobin Jang Hobin 1-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi mengesahkan kedudukan tersebut bahawa mereka hanya semusim beraksi di liga utama negara.
Berikutan kekalahan itu, Negeri Sembilan terpaksa menghuni tempat ke-11 setelah mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri, ketinggalan enam mata berbanding Selangor di kedudukan ke-10 yang mengutip 21 mata.
Berbaki satu perlawanan bertemu Melaka United di Paroi, Negeri Sembilan pada 28 Julai ini, peluang untuk skuad Hobin Jang Hobin kekal di Liga Super musim depan sudah tertutup.
Pada aksi sebentar tadi, Kuala Lumpur meraih gol hasil sentuhan Bobirjon Akbarov pada minit ke-42 dan Indra Putra Mahayuddin (m-86), manakala gol sagu hati Negeri Sembilan pula dijaringkan oleh Alex Moraes (m-43).
Dalam pada itu, nasib Kelantan juga bagai telur di hujung tanduk apabila wajib menang besar pada aksi menentang Terengganu Football Club I (TFC I) di Kuala Terengganu pada pukul 9 esok dan menentang Pahang di Kuantan pada 29 Julai.
Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot dengan 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri. – K! ONLINE










