SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mencatatkan sebanyak 1,147 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dari Januari sehingga Ahad lepas.
Pengarahnya Dr. Zainudin Mohd Ali berkata, jumlah kes HFMD itu meningkat sebanyak 114 peratus daripada 536 kes dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Setakat ini tiada sekolah, tadika dan pusat asuhan ditutup di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan peningkatan kes yang ketara antara Mac hingga April lepas, pihaknya telah melaksanakan kawalan seperti mengadakan promosi kesihatan dan memberi penjelasan serta nasihat mengenai penyakit itu kepada masyarakat.
“Hasil daripada tindakan kawalan yang dilaksanakan, pihak kami telah berjaya menurunkan 19 kes seminggu atau 49 peratus berbanding 37 kes pada awal Jun,” katanya.
Dr. Zainudin menasihatkan pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika atau prasekolah agar sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan serta perkakasan yang digunakan kanak-kanak dan membuat saringan bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda jangkitan HFMD.
Beliau berkata orang ramai juga dinasihat mengambil langkah kawalan dan pencegahan termasuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan jika terdapat tanda-tanda HFMD serta mengamalkan kebersihan diri yang baik.
Katanya sekiranya anak-anak didapati mempunyai tanda-tanda HFMD, ibu-bapa dinasihat untuk tidak menghantarnya ke tabika, taska atau sekolah, sebaliknya dikuarantin di rumah sehingga sembuh. – Bernama









