KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyelesaikan bayaran wang ikat jamin yang berbaki RM500,000 atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Bayaran itu dibuat oleh dua anaknya, Nooryana Najwa dan Norashman yang merupakan penjamin bagi kes tersebut di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi di sini.
Terdahulu dua beradik itu bersama menantu Najib, Daniyar Kessibayev yang merupakan suami kepada Nooryana tiba di Kompleks Mahkamah pada pukul 10.04 pagi.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula tiba pada pukul 11.43 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih dan terus memasuki pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi untuk menandatangani proses dokumentasi ikat jamin.
Najib dan Rosmah kemudian keluar dari pejabat pendaftaran itu lima minit kemudian dan pada masa sama menerima Tabung Solidariti Bebaskan Najib daripada Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,166.









