TOKYO – Pihak berkuasa Jepun semalam membakar mayat ketua ajaran sesat Aum Shinrikyo, Shoko Asahara yang bertanggungjawab melancarkan serangan gas sarin pada tahun 1995, kata seorang peguam anak perempuannya.
Waris Ashara, 63, kini menuntut abu mayatnya. Ketua kultus sesat itu menjalani hukuman mati bersama enam pengikutnya pada Jumaat lepas.
“Saya mengesahkan pembakaran mayat bekas banduan hukuman mati, Chizuo Matsumoto,” kata peguam berkenaan, Taro Takimoto di lama blognya. Dia menggunakan nama sebenar Asahara.
Media tempatan melaporkan, pembakaran mayat itu dilakukan pagi semalam.
Takimoto mewakili anak perempuan keempat Asahara yang meninggalkan kultus tersebut beberapa tahun lalu. Dia kini dilihat sebagai waris yang berkemungkinan besar diberikan abu mayat bapanya oleh pihak berkuasa. Isteri Asahara yang masih bersama kultus Aum Shinrikyo turut menuntut abu mayat suaminya.
Seramai 13 orang terbunuh manakala beribu-ribu yang lain cedera dalam serangan gas sarin di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Tokyo pada tahun 1995. – AFP










