KUALA LUMPUR – Malaysia Baharu, label yang kini popular digunakan untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan yang baharu selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu sepatutnya “pastinya lebih baik” daripada pentadbiran sebelum ini yang memerintah negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Malah, Malaysia Baharu adalah penambahbaikan terhadap tempoh sepanjang saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun,” katanya dalam temu bual dengan Investvine, portal berita perniagaan berpangkalan di Hong Kong yang membuat liputan secara lebih khusus di Asia Tenggara, merujuk kepada tempoh pertama beliau menjadi perdana menteri sehingga November 2003.
Mahathir, berkata Malaysia Baharu bermaksud kerajaan akan kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan menghormati kehendak rakyat.
“Mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak suka kerajaan sebelum ini dan sudah tentu kami perlu mengambil tindakan pembetulan untuk membawa negara kembali kepada organisasi terdahulu. Di masa lalu, kakitangan awam misalnya, tidak terbabit dalam politik, tetapi kehadiran mereka ialah untuk melaksanakan dasar-dasar dan peraturan-peraturan kerajaan dan tidak sebagai anggota politik.
“Tetapi adalah agak ketara bahawa dalam tempoh 10 tahun lepas atau sekitarnya, kakitangan awam sudah banyak berubah dengan mereka dilihat secara terbuka berkempen bagi pihak kerajaan dan itu adalah salah. Ia menjadikan mereka berat sebelah dan membuatkan mereka berusaha memastikan kerajaan sebelum ini menang (pilihan raya), ada kalanya dengan melakukan perkara yang salah,” katanya. – Bernama











