SERI ISKANDAR – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas dihempap sebatang pokok balak mati ketika menebang balak di kawasan pembalakan, Jalan Baru Parit-Seri Iskandar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Usman Udun, 54, yang telah mendapat status penduduk tetap di negara inindisahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang menebang sebatang pokok balak di kawasan tersebut.
Jelasnya, bagaimanapun, akar pokok balak yang ditebangnya tersangkut dan keadaan itu menyebabkan pokok tersebut terkena pada sebatang pokok balak yang sudah mati.
“Pokok mati itu kemudiannya tumbang dan menghempap mangsa. Kejadian tersebut juga telah disaksikan sendiri rakannya yang berada di lokasi kejadian.
“Rakan mangsa menghubungi majikan untuk mendapatkan bantuan sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas Mohamad Zainal, hasil bedah siasat terhadap mangsa hari ini mendapati punca kematian lelaki itu akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Tambahnya, jenazah mangsa telah diserahkan kepada isterinya dan aman dibawa pulang ke Palembang, Indonesia untuk urusan pengebumian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE










