PULAU PINANG 9 Julai – Kerajaan negeri melancarkan perkhidmatan tiga bas percuma bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan pusat bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, perkhidmatan berkenaan akan beroperasi bermula pada pukul 6 pagi hingga 11 malam membabitkan 12 laluan yang dikenali sebagai Pelan Penguraian Trafik (CAT).
Menurutnya, antara laluan terlibat termasuk Terminal Bas Komtar, Jalan Penang, Jalan Pangkor, Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jalan Macalister.
“Perkhidmatan ini merangkumi jarak keseluruhan sejauh lapan kilometer dengan kekerapan bas selang 20 minit, namun bergantung kepada pergerakan laluan trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif terbaharu kerajaan negeri itu di sini, hari ini.
Laluan terbaharu bas itu berkonsepkan pusingan bulatan yang bermula dan berakhir di Terminal Bas Komtar dan akan melalui Jalan Penang, Jalan Utama, Jalan Pangkor, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Anson, Jalan Perak, Jalan Macalister dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong.
Dalam pada itu, Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri memberitahu, inisiatif berkenaan juga bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki kawasan pusat bandar.
“Sebelum ini, perkhidmatan serupa telah wujud di beberapa kawasan di kawasan pulau dan Seberang Perai seperti Alma, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Seberang Jaya,” katanya.









