Kos Trump ke Britain AS$40 juta - Utusan Malaysia

Kos Trump ke Britain AS$40 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Kos lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Britain pada minggu depan dikatakan mencecah AS$40 juta (RM161 juta) merangkumi kawalan keselamatan, penginapan dan lain-lain.

MailOnline melaporkan, jumlah itu melibatkan perbelanjaan pe­mimpin AS itu dalam lawatan selama tiga hari ke London termasuk melibatkan kawalan keselamatan 10,000 anggota polis yang dike­rahkan untuk menjaga keselamatan Trump daripada sebarang ancaman.

Selain itu, sejumlah ejen khas AS turut tiba di kota London bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lawatan Presiden di Dow­ning Street.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut serta dalam rombongan keselamatan itu ialah pengendali helikopter berteknologi tinggi, anggota penembak tepat dan kenderaan perisai memandangkan dijangka lebih 50,000 penunjuk pera­saan akan berarak di jalan-jalan di London.

Seperti biasa, limosin khas The Beast bernilai AS$1.6 juta (RM6.4 juta) turut diterbangkan ke Bri­tain untuk kegunaan pemimpin AS tersebut.

Lebih menarik, lawatan Trump akan turut diiringi ketibaan sebuah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, USS Harry S. Truman yang bersiap sedia di selatan pesisir laut Britain.

Trump dan isterinya, Melania yang dijangka tiba dengan menaiki pesawat rasmi AS, Air Force One akan disambut di Istana Blenheim sebelum bermalam di Winfield House.

Keesokan harinya, beliau akan melakukan lawatan di fasiliti pertahanan serta Chequers sebelum bertemu Ratu Elizabeth di Istana Windsor.

Trump seterusnya akan terbang menuju Scotland pada hujung ming­gu depan serta bermalam di resort miliknya di negara itu selama tiga hari. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×