Korban banjir di Jepun terus meningkat - Utusan Malaysia

Korban banjir di Jepun terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURASHIKI, Jepun – Anggota penyelamat melakukan pencarian rumah ke rumah semalam walaupun harapan untuk menemui mangsa terselamat tipis, beberapa hari selepas banjir dan tanah runtuh mengorbankan seramai 156 orang dalam bencana yang disifatkan terburuk di Jepun dalam tempoh beberapa dekad.

Hujan lebat yang bermula minggu lepas telah berhenti dan banjir yang mula surut mendedahkan kemusnahan besar yang berlaku di barat negara itu.

Di bandar Kurashiki, banjir melanda seluruh daerah dan memaksa sebahagian penduduk memanjat bumbung kediaman mereka sementara menunggu untuk diselamatkan.

Menjelang pagi semalam, pasukan penyelamat bergerak dari rumah ke rumah untuk mencari mangsa terselamat atau terkorban dalam bencana tersebut.

“Kami memeriksa setiap rumah untuk melihat sekiranya terdapat individu yang masih terperangkap,” kata seorang pegawai wilayah Okayama kepada agensi berita AFP.

Di daerah Mabi di Kurashiki, banjir besar itu meninggalkan lapisan lumpur mengakibatkan kawasan sekitarnya kelihatan seperti permukaan Bulan.

Kereta-kereta bergerak di jalan penuh debu. Orang ramai pula berjalan sambil memakai topeng hidung dan mulut atau menutup mulut mereka dengan tuala kecil bagi melindungi diri daripada partikel halus.

Kelmarin, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membatalkan lawatan ke luar negara ketika angka kematian terus meningkat. Beliau akan melawat Okayama hari ini.

Jurucakap kanan kerajaan , Yoshihide Suda berkata, sekurang-kurangnya 156 orang terkorban. Media tempatan melaporkan bahawa angka korban dijangka terus meningkat berikutan berpuluh-puluh orang masih hilang.

Kira-kira 75,000 anggota polis, bomba dan tentera telah dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat di seluruh bahagian tengah dan barat Jepun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN