Kerajaan negeri komited atasi isu setinggan - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri komited atasi isu setinggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri bertindak proaktif untuk menyelesaikan isu penempatan setinggan dalam kalangan rakyat Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pihak kerajaan akan memansuhkan pemberian tanah Community Title (geran komunal) dan ditukarkan kepada pemilikan individu dan keluarga.

Tindakan tersebut akan dilaksanakan kerana ia merupakan salah satu janji yang terkandung dalam manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Saya telah gubal beberapa pendekatan bersama barisan peguam berkaitan perkara ini. Selepas ini kita akan memperhalusi dan melakukan penjenamaan semula bagi membolehkan rakyat Sabah berpeluang memiliki tanah tanpa perlu menunggu antara 50 hingga 60 tahun.

“Lagipun ini hak mereka kerana sampai bila penduduk harus tinggal di kawasan setinggan. Lebih menyedihkan apabila ada rakyat yang dilahirkan di setinggan dan kehidupannya juga berakhir di perkampungan setinggan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Warisan 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau juga menggesa rakyat Sabah supaya tidak terlalu bergantung pada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sebaliknya perlu bekerja keras dan mempunyai pendapatan tetap.

“Kita (rakyat Sabah) bukan peminta sedekah dan bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata kerana Sabah sudah cukup kaya dengan hasil bumi,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN