Kerajaan batal MRT3 untuk kurang beban hutang - Utusan Malaysia

Kerajaan batal MRT3 untuk kurang beban hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bagi mengurangkan bebanan hutang negaa yang terhasil daripada perbelanjaan dalam melaksanakan projek-projek mega.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan laporan kebolehlaksanaan yang disediakan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) pada awal tahun 2017, jajaran projek MRT3 adalah sepanjang 40 kilometer dan merupakan ‘circle line’ yang melalui kawasan-kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.

“Oleh kerana jajaran MRT 3 adalah melalui kawasan pusat bandar yang tepu bina dan berkepadatan tinggi maka hampir 80 peratus daripada jajaran MRT3 adalah terowong bawah tanah sekali gus menyumbang kepada kos pembinaan yang sangat mahal iaitu dijangka mencecah RM50 bilion.

“Implikasi dari segi kewangan masih di dalam kajian MRT Corp dan jumlahnya akan ditentukan kerana MRT Corp telah menjalankan beberapa aktiviti awalan berkaitan dengan projek MRT 3 seperti melaksanakan kajian fisibiliti, melantik juru perunding untuk reka bentuk rujukan untuk kerja-kerja sivil dan sistem elektrikal dan mekanikal keseluruhan, kerja siasatan tanah, menjalankan proses perolehan untuk melantik kontraktor ‘turn-key’ untuk melaksanakan pembinaan MRT 3 dan juga membentuk pasukan kakitangan di MRT Corp untuk tujuan mengurus pembinaan MRT3,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN- Rembau) yang menyatakan rasional dan implikasi dari pelbagai segi meliputi kewangan, kadar penggunaan pengangkutan awam, impak ekonomi susulan, kesesakan jalan raya, jaringan pertumbuhan bandar, keselesaan pengguna dan aspek lain daripada pembatalan projek pengangkutan awam seperti MRT3. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN