KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas 976,732 batang rokok atau kira-kira 48,836 kotak rokok pelbagai jenama dengan nilai cukai sebanyak RM515,344.45 menerusi satu serbuan di Tedungan, Limbang dekat sini pada 14 Julai lalu.
Menerusi serbuan sama yang dilakukan kira-kira pukul 6 petang itu, JKDM Sarawak turut merampas 6,326.37 liter atau kira-kira 19,465 tin minuman keras pelbagai jenama
dengan nilai cukai berjumlah RM277,416.65.
Pengarah JKDM Sarawak, Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kejayaan serbuan tersebut adalah hasil daripada aktiviti perisikan yang dijalankan oleh pihaknya di sekitar Tedungan dekat sini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati majoriti premis di Tedungan menjalankan aktiviti penjualan minuman keras dan rokok yang tidak dibayar duti kastam atau berstatus ‘Malaysian Duty Not Paid’ (MDNP).
“Nilai rokok yang dirampas sebelum cukai adalah sebanyak RM69,992.97, manakala bagi minuman keras pula ialah berjumlah RM100,401.52.
“Manakala, nilai cukai keseluruhan kesemua rokok dan minuman keras seludup tersebut adalah sebanyak RM792,761.10,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Sharifah memberitahu, hasil risikan serta siasatan, pihaknya mendapati minuman keras dan rokok seludup itu disyaki dibawa masuk dari Labuan, Sabah.
Jelasnya, kesemua barangan rampasan itu dipercayai dibawa masuk menggunakan bot-bot pancung dan dipunggah di tebingan Sungai Limbang.
“Minuman keras dan rokok yang diseludup masuk itu adalah untuk pasaran tempatan dan penduduk dari Brunei Darussalam yang sering mengunjungi kawasan Tedungan.
“Operasi yang dijalankan itu merupakan inisiatif dalam membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras,” katanya lagi.
Sharifah menambah, pihaknya juga memerlukan kerjasama daripada masyarakat umum bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE










